Tun Musa pertahan dasar Buku Jingga PR
| March 12, 2013
Dakwaan ekonomi bangkrap adalah
kenyataan politik berkepentingan sebelah pihak sahaja yang sengaja dijaja untuk
menakutkan rakyat
FULL REPORT
SHAH ALAM: Bekas Timbalan Perdana
Menteri Tun Musa Hitam menepis dakwaan bahawa ekonomi negara akan bankrap
sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan Pusat selepas pilihan raya
umum ke-13 (PRU 13).
Musa berkata, perkara itu tidak akan
berlaku sekiranya Pakatan Rakyat mampu menjaga kestabilan sektor pelaburan yang
menjadi asas dalam struktur ekonomi negara.
Katanya, spekulasi itu hanya
kenyataan politik berkepentingan sebelah pihak sahaja yang sengaja dijaja untuk
menakutkan rakyat.
“Jika sekali pun pembangkang
memerintah negara mereka tidak akan sebegitu bodoh mahu membiarkan ekonomi
negara muflis seperti yang lain sangkakan.
“Saya tak fikir ekonomi negara akan
musnah, sama seperti apa yang pernah saya jelaskan kepada beberapa sektor
perbankan dan pelabur asing.
“Perkara asasnya kita kena menjaga
komuniti pelaburan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. selepas
menghadiri Bicara Minda ‘Survival Ekonomi Melayu’ di Kompleks Karangkraf.
Wujud spekulasi
Wujud beberapa spekulasi yang
meramalkan hutang negara akan bertambah sehingga menyebabkan muflis sekiranya
Pakatan mengamalkan dasar ekonomi yang dijanjikan dalam Buku Jingga.
Antaranya penghapusan tol,
pengurangan harga minyak, pendidikan percuma serta menurunkan harga
kereta.
Musa berpendapat tidak ada pihak
yang sanggup dan sengaja membiarkan ekonomi jatuh kerana ia
tanggjungjawab selepas diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah negara.
“Hasrat mereka (Pakatan) sama seperti
yang lain iaitu untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Sebab itu mereka bersaing untuk
menang dalam PRU dan untuk membuktikan siapa lebih layak,” katanya.
Bekas Menteri Dalam Negeri itu juga
berkata, semua pihak perlu menerima hakikat tidak mustahil perkara ini akan
berlaku dalam realiti dunia politik demokrasi.
Enggan ulas lanjut
Beliau bagaimanapun enggan mengulas
lanjut mengenai perincian dasar ekonomi yang ditawarkan Pakatan Rakyat.
Pakatan Rakyat kini giat turun
padang memberi penjelasan kepada rakyat tentang tawaran dasar ekonomi yang
dirangka bagi meraih sokongan undi semasa PRU 13 nanti.
Manakala di pihak Barisan Nasional
(BN) termasuk pemimpinnya menganggap tawaran Pakatan itu mampu menggugat
kestabilan ekonomi.
Malah, wujud perang siber di media
sosial yang menyiarkan video dan menggelarkan Ketua Pembangkang Datuk Seri
Anwar Ibrahim sebagai ‘Mr Mansuh’.
Sementara itu, Musa dalam ucapannya
menyelar sikap sesetengah ahli politik yang gemar memainkan sentimen perkauman
sebagai modal politik.
Beliau menyifatkan tindakan tersebut
sebagai langkah terdesak yang akhirnya boleh memusnahkan negara.
Bangkrap politik
“Barang siapa guna isu perkauman dia adalah ahli politik yang bankrap.
“Barang siapa guna isu perkauman dia adalah ahli politik yang bankrap.
“Banyak isu yang boleh dibahaskan
untuk pembangunan negara selain hanya nak takutkan rakyat dengan isu
perkauman,” tegasnya.
Sementara itu, beliau yakin Dasar
Ekonomi Baru (DEB) berjaya mencapai matlamat apabila kemiskinan tegar semua
kaum dapat dikurangkan.
Malah beliau berpendapat 30 peratus
penglibatan Bumiputera dalam sektor ekonomi juga turut tercapai.
Musa yang juga bekas Pengerusi
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) itu turut menepis persepsi survival
ekonomi Melayu kini terancam.
Katanya, perasaan rendah diri
boleh berubah sekiranya pemimpin tidak menyalahgunakan peluang yang ada untuk
kepentingan politik.