Tuesday 26 February 2013

Jui Meng: Saya tetap jaga hak Melayu



Jui Meng: Saya tetap jaga hak Melayu
ZULAIKHA ZULKIFLI
28 Februari 2012

SHAH ALAM - Datuk Chua Jui Meng (gambar) menegaskan, beliau dan parti diwakilinya tetap akan mempertahankan kepentingan dan institusi Raja-raja Melayu sekiranya Pakatan Rakyat (PR) diberi mandat untuk menerajui kerajaan pusat.
Pengerusi PKR Johor ini juga berkata, beliau bersama pakatan akan turut memartabatkan Suruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan institusi lain di bawah Yang di-Pertuan Agong serta menggunakan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah bagi mengambil alih lebuh raya yang telah diswastakan.

"Walaupun saya (seorang kaum) Cina, saya akan memartabatkan dan pertahankan institusi untuk Melayu dan institusi raja yang ada.

"Bila saya masuk kampung Melayu semasa menjadi Menteri Kesihatan dulu, saya tengok ramai orang Melayu yang miskin. Dan, ada anak-anak Orang Asal sanggup meletak pasir bagi mengisi perut. Kita sepatutnya memusatkan kepentingan rakyat, bukan kroni," katanya pada Wacana Sinar Siri Ke-11 bertajuk "Mengapa Undi Melayu Pecah" anjuran Kumpulan Media Karangkraf hari ini.

Bekas Naib Presiden MCA ini merupakan salah seorang daripada empat panelis menjayakan wacana kali ini.
Ahli panel lain ialah Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad; Ketua Penerangan Perkasa, Ruslan Kasim dan bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat serta moderatornya pula pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik. 
Selain itu, Jui Meng berkata, soal Melayu, Cina dan India berpecah merupakan isu yang tidak relevan lagi.
Katanya, isu perkauman tidak perlu dipanjangkan kerana semua manusia merupakan adik-beradik yang berketurunan dari Adam dan Hawa.
Justeru, beliau berkata, undi Melayu berpecah cuma kerana perbezaan fikiran, prinsip dan idelaisme bukan kerana kaum.
"Kita semua turun dari satu pasangan yang sama iaitu Adam dan Hawa. Semua Melayu, Cina, India ialah adik-beradik. Soalan Melayu, Cina dan India berpecah tak relevan lagi.
"Oleh itu, apa yang manusia hendak? Mereka mahukan kerajaan yang tidak haprak dan rasuah, yang tidak salah guna kuasa. Tetapi ada yang mahu kekalkan regim yang lama ini hingga menyebabkan negara kita hampir muflis," katanya.
Dengan merujuk kepada pilihan raya umum dalam waktu terdekat, kata bekas Menteri Kesihatan ini, perubahan kepimpinan negara perlu dilakukan
Jelasnya, ia perlu dilakukan dengan memilih pemimpin yang adil yang berpandukan pada al-Quran dan Hadis berbanding bercakap mengenai politik 'asobiyah' (perkauman).
"Jangan kita asyik berbincang mengenai Melayu nak bersatu padu. Itu politik 'asobiyah'. Kita perlu berubah kepada siapa lebih adil dan lebih berpandukan pada al-Quran dan Hadis. Bukan bercakap mengenai Melayu jangan berpecah," ujarnya. – Sinar Harian